Pengeluar penternakan ayam bersepadu, CAB Cakaran Corporation Bhd akan melabur sehingga RM350 juta bagi 50 hingga 60 ladang ternakan ayam pedaging di Indonesia dalam tempoh lima tahun.
Pengarah Urusan Kumpulannya Christopher Chuah Hoon Phoong berkata pengembangan perniagaan di republik itu membabitkan pemegang saham kedua terbesar syarikat, iaitu konglomerat Salim Group dari Indonesia yang memiliki 15.19 peratus kepentingan.
“Kami masih berunding dengan Salim (kumpulan), dan kami melihat pengeluaran sebanyak empat juta ekor sebulan, jadi secara kasar kami melihat 50 atau 60 ternakan ayam pedaging di wilayah Jawa.
“Dari segi pelaburan, angka sebenar masih belum ditentukan,” katanya selepas melancarkan ayam diperkaya Omega-3 baharunya di Village Grocer di Tropicana Gardens Mall di sini hari ini.
CAB Cakaran telah menandatangani perjanjian dengan Salim Group pada 2015 untuk menubuhkan perniagaan ayam itik bersepadu di negara itu, dan kumpulan itu turut memiliki Indofood Sukses Makmur Tbk, pembuat mi terbesar di Indonesia.
Berikutan pandemik COVID-19, syarikat itu menghentikan aktiviti dan rancangan pengembangannya di Indonesia, dan kedua-dua pihak kini kembali meneruskan rundingan untuk jalinan kerjasama itu.
Mengulas mengenai pelancaran ayam diperkaya Omega-3 baharu itu, beliau berkata produk premium ini dilihat memberi margin keuntungan yang lebih tinggi berbanding ayam biasa yang berada di bawah kawalan harga sekaligus memacu prestasi kewangan syarikat.
Dalam pada itu, Christopher berkata pihaknya sasar ayam premium akan menguasai 10 peratus pasaran ayam di Malaysia dalam tempoh lima hingga lapan tahun.
“Ayam premium di pasaran Malaysia mula mendapat sambutan sejak 5,6 tahun lalu. Pasaran ayam premium jika dibandingkan dengan ayam biasa ia masih rendah iaitu di bawah 5%. Namun, kami yakin dengan generasi muda dan yang lebih berpendidikan, pasaran ayam premium akan berkembang dari bawah 5% hingga hampir ke 10% dalam 5 hingga 8 tahun ini.” jelasnya.
Produk baharu itu tersedia secara eksklusif di Village Grocer selama enam bulan akan datang sebelum menjadikannya secara beransur-ansur tersedia di kedai runcit lain. Seterusnya, CAB Cakaran sasar untuk memasarkan ayam Omega-3 itu ke Singapura.