CAB Cakaran Corporation Bhd, pengeluar penternakan ayam bersepadu, berhasrat untuk memasuki semula pasaran Indonesia melalui usaha sama (JV) dengan konglomerat terbesar republik itu, Salim Group, dengan melabur antara US$50 juta dan US$80 juta (US$1= RM4.37) dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengarah Urusan Kumpulannya Christopher Chuah Hoon Phoong berkata berikutan pandemik COVID-19, syarikat itu menghentikan aktiviti dan rancangan pengembangannya di Indonesia, dan kedua-dua pihak kini meneruskan rundingan untuk jalinan kerjasama itu.
“Kami masih berunding dengan Salim (kumpulan), dan kami melihat pengeluaran sebanyak empat juta, jadi secara kasar kami melihat 50 atau 60 ternakan ayam pedaging di wilayah Jawa.
“Dari segi pelaburan, angka sebenar masih belum ditentukan,” katanya selepas melancarkan ayam diperkaya Omega-3 baharunya di Village Grocer di Tropicana Gardens Mall di sini hari ini.
CAB Cakaran telah menandatangani perjanjian dengan Salim Group pada 2015 untuk menubuhkan perniagaan ayam itik bersepadu di negara itu, dan kumpulan itu turut memiliki Indofood Sukses Makmur Tbk, pembuat mi terbesar di Indonesia.
Salim Group juga merupakan pemegang saham kedua terbesar dalam CAB Cakaran, dengan 15.19 peratus kepentingan.
Chuah berkata eksport menyumbang kira-kira 10 peratus daripada hasil syarikat dan ini dijangka meningkat kepada 15 peratus dalam tempoh lima hingga lapan tahun akan datang.
Mengulas mengenai pelancaran ayam diperkaya Omega-3 baharu itu, beliau berkata syarikat itu akan menumpukan usaha untuk mempromosikan produk itu di pasaran tempatan sebelum mengeksport ke pasaran luar negara.
“Kesan pandemik COVID-19 telah mendorong pengguna untuk menjadi lebih sedar tentang kesihatan mereka dan memilih produk makanan sihat yang menjana tenaga mereka. Ini, ditambah dengan peningkatan bilangan pengguna terpelajar, telah mewujudkan permintaan untuk produk yang lebih sihat,” katanya.
Chuah berkata produk baharu itu akan tersedia secara eksklusif di Village Grocer selama enam bulan akan datang sebelum menjadikannya secara beransur-ansur tersedia di kedai runcit lain.
“Ayam Omega-3 boleh didapati di kedai runcit dan pasar raya premium dan terkemuka.
“Strategi kami untuk mengembangkan produk hiliran yang menyasarkan segmen premium akan membantu kumpulan mengatasi turun naik marginnya dan meningkatkan prestasi kewangannya,” katanya sambil menambah ia menyasarkan untuk memasarkan ayam Omega-3 itu ke Singapura.